29.5.10

Teknik belajar

Cuti sekolah sudah bermula. Bagi pelajar yang sudah lama mengidam untuk bebas daripada belenggu jadual persekolahan, inilah masanya. Tidak perlu kelam kabut bersiap di waktu pagi dan tidak perlu memeningkan kepala menyiapkan kerja sekolah pada waktu malam. Namun untuk segelintir pelajar, cuti sekolah ini mahu juga diisikan dengan sesi pembelajaran dan ulangkaji. Disusunnya semua buku di depan mata dengan kemas. Semua pensel telah diasah dan semua pen dan buku tulis sudah tersedia. Namun masalah, di mana hendak bermula? Subjek apa yang patut dipelajari? Latihan apa yang perlu dilakukan? Jika anda menghadapi masalah tidak tahu di mana hendak bermula, saya ingin cadangkan 5 langkah di bawah. Langkah ini pernah saya cadangkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2008. Saya percaya langkah-langkah ini boleh membantu. 5 langkah untuk belajar semasa cuti sekolah. Langkah pertama - Ambil sekeping kertas, senaraikan semua subjek yang anda ambil. Tuliskan gred yang biasa diperolehi atau gred yang diperolehi pada peperiksaan akhir tahun lalu. Tuliskan juga gred yang ingin diperolehi (gred matlamat) dalam peperiksaan sebenar nanti. (Tulis seperti jadual yang disediakan di bawah) SmartStudy Langkah kedua - Kenalpasti mana-mana subjek yang yang gred sekarang dan gred matlamat agak jauh berbeza jaraknya. Subjek-subjek ini perlu diberi keutamaan untuk dipelajari semula dan diulangkaji. Jadi, jika mahu bermula, mulakan dengan belajar subjek-subjek lemah ini. SmartStudy Kebanyakan pelajar, jika ada masa terluang, mereka pasti akan mahu belajar subjek yang mereka suka dan subjek yang mereka selalu skor dengan baik. Seperti contoh di atas, belajar subjek yang sudah mendapat gred A tentu lebih menyeronokkan berbanding subjek yang mendapat gred D bukan? Namun, saya cadangkan untuk anda luangkan masa dalam cuti sekolah ini untuk menguatkan semula pemahaman dan penguasaan anda dalam subjek yang lemah itu. Langkah ketiga - Untuk subjek-subjek yang perlu diberi keutamaan ini, senaraikan pula semua topik-topiknya. Kemudian kenal pasti topik mana yang dirasakan paling lemah. Langkah keempat - Antara senarai topik paling lemah ini, pilih topik yang paling pendek dahulu untuk dikuasai. Apabila kita mulakan dengan topik yang paling pendek, ia kelihatan seperti yang paling senang. Jadi keyakinan diri akan jadi tinggi sedikit. Ia membuat proses pembelajaran menjadi lebih mudah. Langkah kelima - Belajar topik-topik itu semasa anda paling aktif dan bertenaga. Begini. Jika ada dua subjek yang ingin dipelajari, belajar subjek yang anda lemah dulu. Seperti yang saya terangkan tadi, pelajar suka belajar subjek yang mereka boleh skor dahulu berbanding subjek lain. Ini akan membuat pelajar ini rasa letih dan penat semasa mahu mula belajar subjek yang lemah itu. Jadi, kali ini, apabila ada masa terluang dan ketika minda dan fizikal masih cergas, belajar subjek yang dirasakan lemah tadi.