24.5.10

Ibu Bapa Perlu Main Peranan

Ibu bapa merupakan orang pertama yang paling rapat dengan anak masing-masing. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pertama kepada semua ibu bapa sebelum menghantar anak ke sekolah dengan melengkapkan anak-anak mereka dengan asas akademik. Abad ini, sudah ramai ibu bapa yang berpendidikan tinggi dan mampu menghantar anak untuk mengikuti kelas tambahan di tempat-tempat yang ‘eksklusif’. Justeru, majoriti anak-anak yang mengikuti kelas ini tidak dinafikan sudah menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Tidak kurang juga ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka di tempat yang berkenaan. Tetapi, cara mereka membentuk disiplin dan anak-anak di rumah sangat hebat dan mengagumkan. Majoriti anak-anak yang menerima didikan seperti ini cemerlang dalam pelajaran. Ada pula ibu bapa yang bekerja tetapi, menyerahkan tanggungjawab mendidik anak sepenuhnya kepada isteri yang tidak bekerja atau pembantu rumah. Sebahagian besar anak-anak ini, didapati berjaya walaupun pencapaian mereka tidak boleh dibanggakan. Namun, apa pula yang terjadi kepada anak-anak yang langsung tidak mendapat didikan yang sempurna? Ada penjaga bersikap lepas tangan. Ramai juga yang sering memberi alasan kepada saya setiap kali diajukan soalan “kenapa encik/tuan/puan/ tak ajar anak membaca di rumah?” . Mereka akan menjawab, 1. “saya sudah ajar anak di rumah, cikgu. Tetapi anak saya degil tak mau belajar” 2. “Macam mana saya nak ajar anak, cikgu. Saya sendiri tak tau baca..” 3. “Dah macam-macam saya ajar anak, cikgu. Tapi anak saya cepat lupa..” Apa pun alasan, ibu bapa yang menjadi orang pertama di rumah perlulah mempunyai cara untuk mendidik dan mendisiplinkan anak jagaan mereka. Adalah kurang tepat sekiranya seseorang penjaga, ibu atau bapa murid meletakkan sepenuhnya tugasan mendidik murid di bahu guru. Saya kasihan apabila melihat ada guru terpaksa mengajar murid di tahun satu hingga enam belajar mengeja atau membaca. Malah lebih teruk lagi, ada murid tahun enam yang masih tidak mengenal abjad!. Sepatutnya pada tahun satu, murid sudah mengikuti silibus yang disediakan. Untuk mengikuti silibus yang disediakan, murid mestilah boleh membaca, memahami dan menulis kandungan isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Tetapi, sebaliknya berlaku. Murid tidak mengenal abjad dan tidak tahu menulis. Kalau dah tidak tahu menulis, apatah lagi hendak menyalin latihan yang guru beri. Murid saya yang tidak tahu menulis semasa di darjah 4 mengambil masa 35 minit untuk menyalin lima baris ayat!. Perlukan saya salahkan murid kerana lambat menyalin?. Bolehkah saya merotan murid kerana lambat menyalin?. Adakah silap saya yang tidak mengajar murid belajar menulis? Jika saya mengajar murid kemahiran menulis, saya sudah tidak mengikut rancangan tahunan (silibus) lagi. Apabila saya tidak mengikut rancangan tahunan, pegawai yang memantau akan menyalahkan saya kerana tidak mengikut sukatan. Akhirnya yang disabitkan bersalah adalah saya juga. Jika saya memberikan alasan murid tidak boleh menyalin, saya akan tetap dipersalahkan kerana tidak mengajar kemahiran itu sedangkan kemahiran itu tiada dalam sukatan. Justeru, tanggungjawab mendidik anak murid tidak boleh 100% diletakkan di bahu seseorang guru. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting di rumah. Berilah anak-anak pelajaran. Ajarlah mereka mengenal huruf, mengeja dan menulis. Janganlah hantar anak ke sekolah dalam keadaan anak-anak tidak bersedia dari aspek akademik. Zaman sekarang, sudah tiada lagi alasan ‘murid degil di rumah dan tidak mahu mendengar cakap’ kerana itu tugas ibu bapa sebagai penjaga di rumah untuk membentuk anak-anak. Murid degil bukan salah cikgu. Mereka degil kerana tidak dibentuk dari kecil lagi. Murid tidak tahu membaca pun bukan salah cikgu. Mereka tahu membaca kerana tidak diajar membaca di rumah. Murid zaman sekarang tidak dinafikan ada yang degil dan kuat melawan guru. Tetapi, disebabkan kuasa merotan murid telah ditarik balik. Guru tiada kuasa untuk mendisiplinkan murid lagi. Sebab itu di beberapa sekolah, jika ada murid yang buat perangai, cikgu akan membiarkannya sahaja. Bukan apa, kerana cikgu sudah tidak berkuasa kerana terikat dengan peraturan. Jika guru rotan, akan jadi isu pula. Ibu bapa akan serang guru dan macam-macam masalah yang timbul. Inilah yang berlaku terhadap guru lebih-lebih lagi jika guru itu mengajar di kelas yang paling hujung (hardcore). Kasihan. Inilah realiti dunia pendidikan. Semakin ramai murid di seluruh negara yang dikhuatiri lemah dalam penguasaan 3M. Maka, semakin banyaklah program-program yang dirancangkan oleh pihak atasan. Apabila semakin banyak program ditambah dalam jadual waktu sekolah, beban murid dan guru semakin bertambah. Di sekolah rendah sudah ada Kajian Tempatan, pada hal subjek itu tidak termasuk dalam UPSR pun. Mungkinkah tidak lama lagi akan ada subjek lain seperti sastera, ekonomi, perdagangan, sejarah, pengetahuan am dalam subjek di sekolah rendah? Bukan saya menafikan subjek ini tidak bagus, tetapi kembali kepada persoalan utama iaitu JIKA MURID TIDAK TAHU MEMBACA, ADAKAH PROGRAM YANG DIRANCANGKAN AKAN BERJAYA?