24.5.10

Pengurangan Bajet : Cabaran buat Guru

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Pengurangan bajet oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tahun ini dilihat sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi para guru dan pihak pengurusan sekolah dalam usaha mereka bagi mengekalkan mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta melahirkan pelajar-pelajar cemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad, melalui pengurangan bajet oleh KPM itu banyak aktiviti sokongan pendidikan seperti aktiviti luar bilik darjah tidak dapat dijalankan. ”Pihak sekolah hanya dapat melaksanakan aktiviti peringkat dalaman sahaja manakala peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan tidak dapat dilaksanakan. ”Aktiviti-aktiviti sebegini penting dalam usaha mengasah bakat pelajar selain meningkatkan disiplin, motivasi dan sahsiah pelajar berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurutnya, kementerian mempunyai alasan dan sebab mereka tersendiri mengurangkan bajet tersebut dan ia dilakukan demi untuk kebaikan semua pihak terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya sekarang. ”Guru-guru tidak perlu merasa sangat terbeban dengan pengurangan bajet itu kerana ia adalah bersifat sementara. Anggap ia sebagai satu cabaran dalam usaha memartabatkan pendidikan negara dan melahirkan anak bangsa yang cemerlang. ”Pengurangan bajet ini juga akan meningkatkan semangat guru-guru dan pihak pengurusan sekolah untuk berusaha lebih bagi menjadikan sekolah mereka sebagai salah satu sekolah berprestasi tinggi di negara ini. Ianya tidak mustahil untuk dicapai,” jelasnya. Sabri berkata, janganlah terlalu mengharapkan imbuhan dan bantuan dari kerajaan dan sebagai guru, kita perlu memahami juga apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan semua. ”Diharap agar guru-guru akan lebih berdaya saing dalam menunjukkan kualiti mereka selain melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. ”Pengorbanan yang lebih perlu dilakukan oleh mereka dalam mendidik para pelajar dan perkara ini adalah tidak mustahil untuk dijayakan jika adanya kerjasama dan kesepaduan di kalangan guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya. Dalam pada itu beliau turut meminta supaya pengurangan bajet yang melibatkan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan dikaji semula. ”Pengurangan bajet itu akan menjejaskan baucer tuisyen bagi pelajar- pelajar miskin dimana peluang untuk pelajar kurang berkemampuan mendapatkan bantuan semakin sukar dan syarat yang dikenakan lebih ketat. ”Bantuan pakaian seragam untuk aktiviti badan beruniform pelajar-pelajar miskin juga sudah tidak diberikan,” katanya. Selain itu jelasnya, pihak sekolah kini perlu menanggung sendiri perbelanjaan dan utiliti seperti bayaran bil elektrik dan bekalan air dimana kesannya lebih teruk dirasai oleh sekolah dua sesi. ”Saya meminta supaya KPM mengekalkan bajet terutamanya perbelanjaan dan utiliti sekolah kerana ianya dirasakan tidak adil kepada pihak sekolah,” katanya. Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, pihak sekolah memahami kehendak KPM mengurangkan bajet kerana faktor kegawatan ekonomi negara sekarang. Namun begitu katanya, sebaiknya segala peruntukan yang melibatkan Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta latihan perguruan tidak perlu dikurangkan atau disentuh langsung. ”Pengurangan itu bakal menyebabkan terjejasnya tujuan pendidikan selain akan membantutkan usaha dalam melahirkan guru-guru cemerlang di negara ini,” katanya.